KALA ditimpa musibah serta dugaan dalam hidup, sokongan keluarga dan kenalan rapat amat diperlukan. Merekalah kekuatan untuk manusia dalam mengharungi liku kehidupan yang ada kala sukar untuk kita menjangkakan apa yang bakal terjadi.

Ameng Spring contohnya yang masih menjalani hukuman di Penjara Kluang lebih setahun lalu tentu tidak menjangkakan dia akan terpisah dengan anak dan isteri akibat kesilapan diri sendiri namun dia akur menerima hukuman itu sebagai ingatan kepadanya bahawa setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.
Kini dia amat menginsafi diri dan berazam selepas selesai menjalani hukuman kelak dia akan menjalankan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya terhadap keluarganya.

“Saya sentiasa rindukan mereka dan saya sedar isteri dan anak sudah buktikan kasih saya mereka pada saya yang tidak berbelah bahagi dalam menempuh sudah senang hidup bersama dan ini amat menginsafkan,” katanya.

Dia sebelum ini dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan atas tiga kesalahan termasuk dua kes memiliki dadah, dua tahun lalu.

Pada hari raya korban yang mulia ini, Ameng tidak dibiarkan kesepian di sebalik tirai besi itu apabila dia kunjungi Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, rakan artis yang juga temannya termasuk Zamani Slam, Ibnor Riza dan Umarul Iklim dan lebih penting, isteri, Sabariah Zakaria dan anak mereka, Wan Amar Haikal.

Pada pertemuan itu yang diadakan sempena Program Jalinan Kasih Aidiladha, Penjara Kluang, Ameng menghiburkan rakan banduan, keluarga mereka, kakitangan penjara dan tetamu yang datang dari jauh itu dengan lagu popularnya, Sampai Hati dan Bougenvilla. Dia menyanyikannya dengan penuh perasaan sambil memegang erat tangan anaknya yang tidak mahu berenggang dengannya. Ibnor dan Zamani turut menyanyikan lagu popular mereka, Mimpi Yang Tak Sudah dan Gerimis Mengundang.

Ameng yang sangat terharu menerima kedatangan rakan-rakannya itu menceritakan kepada mereka suratan hidup yang dilaluinya sekarang membuatkan dia sentiasa bermuhasabah diri.

“Detik yang paling saya tidak dapat melupakannya ketika saya menjalani hukuman 10 sebatan rotan sekali gus dan ketika saya hanya membayangkan kematian dan seksaan dalam kubur. Masih terasa peritnya di rotan di seluruh denyut nadi dan selama seminggu saya tidak boleh berbaring, membuatkan saya amat menyesal dan insaf,” katanya.

Selama di penjara, dia menghabiskan masanya di sana dengan mengikuti model Fasa 11 iaitu aktiviti berbentuk kerohanian dan keagamaan yang dipanggil halaqah.

“Menerusi halaqah saya dan rakan di sini belajar pelbagai perkara termasuk bertadarus, mengaji al-Quran, marhaban, nasyid dan menyertai kelas imam muda bagi memantapkan sahsiah diri mulai jam 9 pagi hingga 12 tengah hari. Kami juga diwajibkan menyampaikan tazkirah selepas solat kepada rakan-rakan secara bergilir-gilir.

“Selepas keluar daripada penjara pada 2016, saya tetap akan jadi penghibur tetapi dengan cara berbeza. Jika dulu saya dikenali sebagai penyanyi pop tetapi selepas ini saya mahu jadi penghibur yang dapat memberikan mesej menyelitkan motivasi hidup dan nilai positif.

“Saya bukanlah mahu bertindak sebagai penasihat tetapi saya hanya mahu berkongsi kisah hidup agar dapat dijadikan teladan,” katanya.-hmetro


Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top