CHONG WEI (kiri) dan Mew Choo akan melangsungkan perkahwinan bulan depan.

SELEPAS 11 tahun jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berpacaran dengan Wong Mew Choo, akhirnya kedua-dua pasangan itu bakal melangsungkan perkahwinan pada November depan.

Begitupun, tarikh rasmi perkahwinan tersebut masih belum dimaklumkan memandangkan Chong Wei masih berada di Odense dan baru mengakhiri misinya pada Kejohanan Badminton Siri Super Primer Terbuka Denmark kelmarin dengan muncul juara.


Sebaliknya, abang Chong Wei, Lee Chong Hoon sekadar memberitahu, majlis resepsi bagi meraikan perkahwinan tersebut akan diadakan selama dua hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 dan 10 November depan.

“Tarikh (pendaftaran perkahwinan) dan tempat perkahwinan tersebut akan dimaklumkan sendiri oleh Datuk Lee Chong Wei dan Mew Choo pada sidang akhbar akan datang,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat syarikat Chong Wei Binajaya Sdn. Bhd. di Bandar Puteri, Puchong semalam.

Chong Hoon yang mengakui gembira dengan keputusan adiknya untuk menamatkan zaman bujang pada tahun ini berkata, seluruh ahli keluarganya tidak sabar menunggu majlis gilang-gemilang tersebut.

“Ibu saya sangat gembira dan seluruh keluarga juga gembira dengan perkahwinan ini kerana setelah sekian lama mereka akan disatukan.

“Walaupun kami hanya ada masa selama 43 hari untuk membantu persediaan majlis perkahwinan ini tetapi kami akan cuba untuk melangsungkannya dengan sempurna.

“Memang kami kesuntukan masa dan Chong Wei juga begitu kerana dia bukan sahaja ‘terkejar-kejar’ untuk menguruskan hal perkahwinan tetapi terpaksa mengikuti latihan seperti biasa untuk menyertai Terbuka Denmark,” ujar Chong Hoon.

Majlis yang akan berlangsung selama dua hari di KLCC itu dijangka akan disertai seramai 2,500 tetamu dan 500 petugas majlis perkawinan.

Jelasnya, majlis pada 9 November nanti akan melibatkan lebih kurang 1,000 jemputan terdiri daripada tetamu kehormat dan antara yang diundang ialah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beberapa menteri Kabinet serta ahli-ahli korporat dari dalam dan luar negara.

“Pada malam kedua, majlis akan diadakan untuk kaum keluarga dan sahabat handai yang melibatkan 1,500 jemputan termasuk 500 kru bertugas.

“Jumlah sebenar perbelanjaan untuk majlis perkahwinan ini juga tidak dapat dinyatakan lagi tetapi kebanyakan kos ditanggung oleh penaja,” jelasnya.

Sementara itu, bapa pemain badminton No. 1 dunia itu, Lee Ah Chai, 59, mengakui sangat teruja apabila perkara yang sudah lama ‘dinanti-nantikan’ itu terjawab apabila Chong Wei menghubunginya pada bulan lepas untuk memberitahu akan menamatkan zaman bujangnya.

Menurut Ah Chai, beliau berharap perkahwinan Chong Wei dengan bekas pemain badminton wanita negara tersebut akan dilimpahi dengan kebahagiaan.

“Hanya Chong Wei seorang sahaja anak saya yang belum berkahwin dan apabila dia memberitahu mahu menamatkan zaman bujangnya, sudah pasti saya rasa sangat gembira.

“Saya juga merasa gembira kerana dia memilih Mew Choo sebagai teman hidupnya kerana saya sudah lama mengenali Mew Choo iaitu sebelum Chong Wei menyertai akademi lagi (Persatuan Badminton Malaysia).”

“Saya berharap mereka bahagia kerana Mew Choo sangat baik dan dia juga pasti sangat memahami Chong Wei,” katanya.

Lebih menarik, Chong Hoon turut mengumumkan bahawa seramai 10 peminat Chong Wei akan diberi peluang untuk hadir bersama-sama meraikan malam resepsi majlis perkahwinan tersebut di KLCC pada 9 November.-kosmo

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top