SIBU: Seorang bayi lelaki berusia lima bulan kini bertarung nyawa selepas mengalami kecederaan otak dipercayai terjatuh ketika dalam jagaan pengasuhnya, sejak empat hari lalu.

Difahamkan, kejadian disedari ibu kanak-kanak itu berusia 38 tahun yang membuat pemeriksaan di Hospital Sibu (HS), kelmarin.

Sumber berkata, ibu kanak-kanak malang itu yang juga guru di sebuah sekolah di Jalan Teku, di sini, sebelum itu diberitahu kanak-kanak berkenaan muntah dan pengsan oleh pengasuh yang menjaganya.


“Terkejut dengan panggilan itu, wanita berkenaan bergegas pulang dan terus menghantar anaknya ke sebuah klinik di Jalan Teku. Bagaimanapun, petugas klinik terbabit mendapati keadaan bayi agak serius sebelum menasihatkan wanita itu merujuk anaknya ke HS untuk rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, selepas dua hari ditahan di Unit Rawatan Rapi (ICU), doktor memaklumkan bayi itu mengalami kecederaan di bahagian otak, kelmarin.

“Wanita terbabit cuba mendapat penjelasan, namun pengasuh itu mendakwa tidak mengetahui punca bayi berkenaan mengalami masalah itu.

“Berikutan itu, wanita terbabit membuat laporan di Balai Polis Sentral, jam 11 malam kelmarin dan meminta polis menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca bayi itu mengalami kecederaan dalaman,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan termasuk mengambil keterangan pengasuh bayi malang itu, namun tiada tangkapan dibuat sehingga kini.

Harian Metro

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top