KUTA – Indonesia mengisytiharkan kawalan keselamatan diperketatkan semalam selepas mendapat maklumat mengenai ancaman terhadap sambutan ke-10 ulang tahun pengeboman Bali yang membunuh 202 orang.

Serangan itu dilakukan oleh kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) yang ada hubungan dengan al-Qaeda, setahun selepas tragedi 9/11 di Amerika Syarikat.

“Ada maklumat yang boleh dipercayai mengatakan pengganas merancang serangan ketika ulang tahun pengeboman Bali,” kata Timbalan Ketua Polis Bali, Ketut Untung Yoga Ana.


“Kawalan keselamatan diperhebat di semua laluan masuk ke Bali termasuk lapangan terbang dan pelabuhan,” katanya sambil menyifatkan langkah itu digerakkan ke peringkat tertinggi.

Beliau pada awalnya mengumumkan langkah menempatkan 1,000 anggota keselamatan termasuk penembak tepat, komando polis bersenjata berat dan ejen perisikan.

Amaran pihak berkuasa Indonesia, bagaimanapun, tidak menyekat Perdana Menteri Australia, Julia Gillard daripada menghadiri majlis memperingati mangsa dua serangan terhadap kelab malam di pusat peranginan itu.

Serangan pada 12 Oktober 2002 mengorbankan 88 warga Australia.

Keluarga dan sahabat handai mangsa sudah berada di Bali untuk menghadiri majlis memperingati kejadian, esok.

Ada yang berada di kawasan kejadian untuk meletakkan bunga di tugu peringatan yang tercatat nama mangsa, bertentangan kawasan kejadian.

Sekumpulan anggota polis berkawal dekat tugu ini di sini dengan sepasukan lagi anggota keselamatan meronda sekitar.

Bali dilaporkan sudah kembali pulih dan Indonesia dipuji kerana melancarkan kempen memerangi militan dengan semua penyerang sama ada dihukum mati atau dibunuh polis mahupun dipenjara. – AFP

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top