PENYERANG ATM, Hairuddin Omar (kiri) cuba dihalang pertahanan Negeri Sembilan pada aksi suku akhir kedua di Paroi malam tadi. ATM menang 3-1 untuk melangkah ke separuh akhir.

EGO penyandang juara, Negeri Sembilan akhirnya dirobek pasukan berstatus kelab, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) setelah kecundang 1-3 dalam aksi suku akhir kedua kempen Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.

Dengan keputusan itu, skuad kendalian B. Sathianathan melangkah penuh bergaya ke separuh akhir menerusi agregat 6-3 setelah terlebih dahulu menang selesa dalam suku akhir pertama sebelum ini.

Sang Rusa terlebih dahulu di depan seawal minit keempat menerusi jaringan Mohd Alif Shamsudin sebelum Aidil Zafuan Razak menyamakan kedudukan buat ATM kira-kira lima minit kemudian.

Penyerang import ATM, Marlon Alex James akhirnya muncul ‘duri dalam daging’ pasukan tuan rumah apabila meledak dua lagi gol pada minit ke-42 dan 57.

Di Stadium Shah Alam, Selangor memastikan ‘Misi 33’ terus membara apabila menjinakkan Johor FC 2-1, sekali gus mara dengan agregat 5-2.

Pemain pinjaman Gergasi Merah, S. Veenod berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-28 sebelum Sang Lebah menyamakan kedudukan menerusi Fernando Augusto pada minit ke-65.

Mohd. Fitri Shazwan akhirnya menjamin kemenangan mutlak tuan rumah apabila meledak gol kemenangan pada penghujung babak kedua.

Di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, juara Liga Super dan Piala FA, Kelantan menepati ramalan awal muncul empat pasukan terbaik kempen kali ini biarpun sekadar melakar keputusan seri 2-2 dengan Felda United malam tadi.

Meskipun seri, The Red Warriors tetap layak menerusi agregat 4-3 selepas melakar kemenangan 2-1 dalam suku akhir pertama di Stadium Hang Jebat, Melaka minggu lalu.

Malam tadi, keghairahan tuan rumah memburu gol awal akhirnya dihukum pelawat apabila Mickael Antoine Curier tenang meletakkan skuad E. Elavarasan di depan pada minit ke-42.

Skuad kendalian Bojan Hodak bertambah tertekan apabila penyerang Felda United, Faderin Kadir berjaya menggandakan kelebihan pelawat pada minit ke-53.

Kesungguhan Sang Kijang akhirnya berbaloi apabila Norfarhan Muhammad berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-70 biarpun cuba dibantah pemain Felda United yang mendakwa bola masih belum melepasi garisan gol.

Gol tersebut jelas membangkitkan semangat The Red Warriors sebelum penyerang, Mohammad Ghaddar muncul penyelamat menerusi gol penyamaan pada masa kecederaan, sekali gus memaksa Felda United ‘berputih mata’.

Di Stadium Jalan Besar, Singapura, dua gol ledakan kapten Lions XII, Shahril Ishak pada minit ke-35 dan 79 berjaya memadam hasrat Pahang untuk mara lebih jauh dalam kempen kali ini selepas akur dengan agregat 2-3.

Dalam aksi separuh akhir pertama Jumaat depan, Lions XII akan melayan kunjungan ATM di stadium yang sama sementara Selangor berdepan tugas getir melayan kunjungan Kelantan di Stadium Shah Alam sehari kemudian.

Aksi separuh akhir kedua pula dijadualkan berlangsung pada 11 dan 12 Oktober depan sementara aksi final bakal berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 20 Oktober depan. -kosmo

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top