IPOH – “Saya ambil dadah sebab nak melunakkan suara selain menghayati lagu yang dinyanyikan di karaoke, bukan untuk berkhayal,” luah Mat yang ditahan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), di sini.

Pemuda berusia 23 tahun itu memberi alasan setelah didapati positif selepas menjalani ujian air kencing dan dipercayai mengambil tiga jenis dadah iaitu syabu, heroin dan ganja.


Lelaki terbabit ditahan kira-kira jam 11 malam berhampiran sebuah pusat karaoke di Jalan Yang Kalsom, di sini selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan sebaik keluar dari pusat hiburan itu.

Jurucakap anggota AADK berkata, pada mulanya lelaki itu tidak mengaku mengambil dadah dan berpura-pura tidak sihat.

“Malah, dia turut mengaku mengalami demam denggi namun selepas keputusan ujian saringan awal diterima, kami mendapati suspek mengambil tiga jenis dadah berlainan sekaligus untuk mendapatkan kesan khayal berganda.

“Apa yang dilakukan remaja ini amat berbahaya boleh memudaratkan sistem badan serta merosakkan saraf otak jika diambil berlebihan. Malah tindakan gila lelaki itu turut boleh meragut nyawa,” katanya.

Seorang lagi lelaki yang hanya dikenali sebagai Hafizi, 20-an mendakwa dia memperolehi keseronokan berganda jika mengambil dadah sewaktu menyanyi di karaoke.

“Jika ambil benda tu (dadah) saya dapat menyanyi dengan penuh semangat dan nyaring terutama lagu rock malah ramai rakan saya turut melakukan perkara yang sama sebelum menyanyi,” katanya yang sudah menagih dadah sejak usia belasan tahun lagi.

Hasil ujian kemudiannya mendapati, suspek berkenaan positif mengambil dadah heroin dan ditahan bersama 10 penagih dadah lain. – Sinar Harian

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top