Heliza Helmi memegang buku pertama tulisannya, Diari Heliza Helmi yang menghimpunkan jurnal peribadi dan aktiviti hariannya. - Foto oleh AHMAD MOHSIN DADAMEAH

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon Heliza Helmi mengalu-alukan pembabitan lebih ramai rakan artis untuk menghadiri kelas bimbingan agama Islam iaitu Usrah Fitrah yang dikhususkan untuk seluruh penggiat seni tanah air.

Heliza, 26, berkata, sambutan daripada lebih 30 penggiat seni termasuk golongan artis setakat ini menunjukkan perkembangan yang baik terhadap projek cetusan Rusydi Ramli Al Jauhari itu.

“Alhamdulillah, projek Usrah Fitrah ini mendapat sambutan yang baik daripada warga seni sejak beberapa bulan lalu namun saya mengalu-alukan lebih ramai penggiat khususnya rakan artis turut serta dalam kelas tersebut.
“Kelas agama itu meliputi pembelajaran segenap aspek iaitu al-Quran dan tajwid, fiqah, aqidah, hadis dan motivasi diri. Ia memang bagus dan istimewa kerana bukan sahaja memberikan ilmu tetapi dicetuskan khusus untuk membimbing warga seni tanah air,” katanya ketika ditemui mStar Online.

Finalis Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu berkata demikian selepas pelancaran bukunya yang berjudul Diari Heliza Helmi dan pengumuman sebagai duta minuman ice blended Coolblog, di sebuah hotel di sini, pada Isnin.

Usrah Fitrah yang dianjurkan oleh Fine Academy Sdn Bhd dan Must Read Sdn Bhd itu terbuka kepada warga industri hiburan termasuk pelakon, penyanyi, wartawan, penggiat seni fesyen, penulis dan pemuzik.
Heliza bersama wakil syarikat Coolblog Dessert Sdn Bhd menunjukkan minuman Coolblog selepas pengumuman rasmi pelantikannya sebagai duta minuman itu.

Seramai tujuh ustaz bertauliah iaitu Rusydi Ramli Al Jauhari, Shahrizan Daud At Turabi, Ghazali Ibrahim, Syed Norhisham Tuan Padang Al Idurs, Amin Idris, Tuan Fazrul, Zul Ramli dan Halim Hafiz akan bertanggungjawab membimbing para peserta pada setiap minggu.

Antara rakan artis yang aktif adalah Irma Hasmie, Yatt Hamzah, Diana Amir, Noryn Aziz, Farah Asyikin, Siti Nordiana, Iqram Dinzly, Zoey Rahman, Salima AF, Enot dan personaliti TV3, Teh Syuhada.

Heliza yang semakin aktif bergelar penceramah motivasi berkata, pembabitan dalam kelas tersebut sejak setahun lalu membuatkan dia semakin seronok untuk menimba lebih banyak ilmu pengetahuan yang baru.

“Saya anggap pembabitan dalam Usrah Fitrah ini bukan hanya menambahkan ilmu agama, malah memberikan saya input berguna yang boleh digunakan ketika saya memberikan ceramah dan taklimat motivasi.

“Kebetulan pula, pada waktu ini saya semakin aktif memenuhi undangan untuk memberikan ceramah motivasi di merata tempat, ia menjadikan saya semakin teruja untuk terus belajar pelbagai ilmu dan perkara,” katanya.
Buku Heliza yang dirasmikan pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah (kiri) dan wakil syarikat penerbitan.

Mengenai buku Diari Heliza Helmi, Heliza berkata, dia dilamar oleh syarikat penerbitan buku Yamani Angle Sdn Bhd pada awal tahun ini tetapi terpaksa ditangguhkan ekoran jadual kerja yang padat.

“Buku ini adalah himpunan jurnal harian saya selama ini. Sebenarnya, pihak penerbit sudah menyuarakan hasrat untuk menerbitkan jurnal saya itu ke dalam bentuk buku sejak awal tahun lagi tetapi ia sering tertangguh kerana kesibukan saya.

“Selain buku, saya juga ambil kesempatan pada majlis ini untuk mengumumkan pelantikan saya sebagai duta minuman Coolblog yang berkuat kuasa pada Ogos lalu bagi tempoh setahun.

“Mereka memilih saya kerana kebetulan saya memang menggemari minuman itu sebelum ini,” katanya.

Majlis perasmian buku tersebut disempurnakan oleh pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah.-mstar



Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top