KUALA LUMPUR – Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) hanya dipasang di lokasi berisiko tinggi kemalangan (blackspots) bertujuan mengurangkan risiko kemalangan akibat pemanduan laju dan pelanggaran lampu isyarat merah di kalangan pengguna jalan raya.

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) melalui satu kenyataan media memberitahu , pelaksanaan fasa perintis AES pada 23 September lalu menempatkan AES di 14 lokasi dan sebanyak 831 lokasi lain akan dilengkapi dengan sistem itu.

“Penentuan lokasi blackspots adalah berasaskan dari data kemalangan yang dikumpul oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Bagi setiap kes kemalangan di Malaysia, PDRM merekod data-data yang berkaitan dengan kes kemalangan menggunakan Borang Pol 27.


“Borang ini merangkumi butiran-butiran persekitaraan, jalan raya, kenderaan, pengguna jalan raya serta butiran mengenai lokasi tempat kejadian kemalangan. Lokasi blackspots ditentukan oleh MIROS dengan analisa data kemalangan selama empat tahun, iaitu dari tahun 2007 sehingga 2010,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, bagi memastikan lokasi AES bertepatan dengan fungsinya, analisa data kemalangan difokuskan kepada kemalangan akibat memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat merah.

Jelas kenyataan itu, kesemua lokasi tersebut diberi keutamaan mengikut tahap keparahan akibat kemalangan-kemalangan yang telah berlaku dalam tempoh empat tahun.

Berdasarkan analisa lokasi blackspots yang telah dijalankan sebanyak 831 lokasi untuk telah berjaya ditentukan untuk penguatkuasaan AES, kata kenyataan itu lagi.

Media pada 10 Oktober lalu melaporkan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) serta pembangkang bersetuju untuk meminta kerajaan menangguh dan mengkaji semula penggunaan kamera AES.

Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) ketika mencelah dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 dipetik berkata, penangguhan AES adalah penting supaya peraturan berkenaan tidak membebankan rakyat.

Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) pula berkata, pemansuhan AES perlu dilakukan kerana sistem itu memberi tekanan kepada pemandu. – mynewshub.my

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top