Saiful Nizam menunjukkan lokasi janin yang ditemuinya.

NILAI – Seorang pegawai Imigresen tidak menyangka kejutan isterinya di awal pagi  yang memberitahu terdapat tompokan darah di hadapan rumahnya membawa kepada penemuan janin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, penduduk di Kuarters KLIA, Kelompok 8, di sini, gempar apabila janin yang pada awalnya disangka janin anak kucing dijumpai di atas tangga dalam keadaan berlumuran darah

Saiful Nizam Abas, 40, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur tetapi dikejutkan isterinya yang memaklumkan terdapat banyak tompokan darah.

“Saya bergegas bangun dan mencari dari mana kesan tompokan darah tersebut bermula, kemudian saya dengar suasana kecoh di tingkat dua bangunan.

“Saya terkejut sebaik sahaja melihat ada objek kecil berlumuran darah tetapi ketika itu kami tidak pasti sama ada ia janin manusia atau anak kucing," katanya.

Bagaimanapun katanya, setelah dilihat dari jarak dekat, dia mula mengesyaki janin tersebut adalah janin manusia.

Menurutnya, dia segera menghubungi polis dan Klinik Kesihatan Kuarters KLIA bagi mengesahkan penemuan berkenaan.

“Saya dan penduduk lain memang terkejut dengan kejadian ini kerana baru-baru ini, kita digemparkan dengan kes bayi baru lahir dicampak dari atas bangunan, sekarang ini di kawasan perumahan rumah kami pula, janin dijumpai," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Yusof Awang mengesahkan penemuan janin terbabit dan ia dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran," katanya.-sinar


Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top