Sukar menolak andaian awal mata kasar ini apabila melihat penampilan terbaru si genit molek bernama Stacy Angie Anam yang mesra disapa sebagai Stacy. Entah bagaimana, terasa seperti ada sedikit perubahan pada dirinya yang boleh membuatkan ramai mengangguk tanda setuju sambil berkata ?Ya, penyanyi ini kini nampak semakin berisi!?.
Macam tahu-tahu sahaja apa yang difikirkan penulis, Stacy cepat-cepat membuka mulut bagi mengurai persoalan yang ada.
Memang betul, saya sekarang semakin berisi. Maklumlah agak lama juga saya bercuti dan pulang ke kampung di Penampang, Sabah.
Faham-faham sahajalah kalau sudah berada dengan emak, dia akan bagi saya makan cukup-cukup dan sekarang tengok, inilah hasilnya. ” kata Stacy secara spontan sambil menggayakan bentuk tubuhnya itu.
Tak sangka, dia masih suka berjenaka dan mengusik orang sama seperti dahulu.
Namun dalam masa yang sama, ia menjawab kepada persoalan ke mana Stacy menghilang memandangkan untuk satu tempoh, kelibatnya dalam industri agak jarang kelihatan.
Pernah ada bayangan bahawa anak jati kaum Kadazan ini berkemungkinan besar sudah tidak laku atau sudah semakin suam-suam kuku dalam industri.
Itu mustahil, apalagi bila melihat kepada kedudukannya sebagai seorang penyanyi yang mampu menjadi pelapis kepada dunia seni suara tanah air.
Bayangan itu juga umpama ada logiknya kerana sekarang ini pun, dunia hiburan kita banyak mempamerkan kelompok artis baru yang tak pernah surut.
Segah mana pun nama Stacy, tidak mustahil dia juga mampu tenggelam kalau dia tidak mengambil inisiatif untuk terus menggilap bakat dan memperkukuhkan kerjayanya. Ada benarnya bukan?
Tak menolak andaian ini, juara program realiti Akademi Fantasia musim keenam (AF6) hadir dengan penjelasan agar tiada yang menggangap dia sudah tidak laku.
Satu sebabnya, macam yang saya cakap tadi, saya memang sedang berehat dan bercuti. Saya akui, sekarang ini tak banyak projek baru membabitkan saya.
Pihak Astro tak abaikan saya. Malah, mereka juga dah ada perancangan besar untuk saya buat kemunculan semula. Tapi semua itu cuma akan direalisasikan pada tahun 2013.
Sekarang ni, masa saya banyak bertumpu pada acara persembahan di luar. Saya ni tak pandai duduk diam. Ada tawaran persembahan yang bersesuaian, saya akan ambil.
Kalau tak ada, saya duduk saja di rumah. Mungkin sebab itulah orang dah jarang tengok saya di media, katanya.
Tak berselindung mengenai perubahan berat badan yang dialaminya kini, dalam ketawa kata Stacy, dia tahu apa puncanya.
Berat badan saya sekarang 53 kilogram. Naik sembilan kilogram. Puncanya sebab saya dah tak menari sangat.
Orang yang biasa menari dan kemudian untuk satu tempoh dia berhenti sekejap menari, memang berat badannya akan bertambahlah kalau tak dijaga.
Inilah puncanya. Tapi sekarang saya sedang berusaha untuk mengembalikan berat badan ideal saya. Caranya, kenalah cergas dan aktif menari semula!” ujar anak kelima daripada enam beradik ini.
-www.utusan.com.my-



stacy berisi pun cun jugak hehe
BalasHapus