9 Warga ATM Siap Sedia Takhluk Selat Inggeris

KUALA LUMPUR – Sembilan perenang yang terdiri daripada anggota-anggota daripada tiga sayap Angkatan Tentera Malaysia kini dalam keadaan fizikal yang terbaik untuk berenang menakluk Selat Inggeris sekaligus menyahut cabaran Renangan Perpaduan Selat Inggeris 1Malaysia (RPSI1M) pada 16 September ini.
Presiden kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia, Muhamad Muqharabin Mokhtaruddin @ Qobin berkata, kesemua perenang terbabit kini tidak sabar untuk menyahut cabaran berkenaan.
Katanya, kesemua mereka sudah pun berada di sana untuk melakukan persiapan dan persediaan peringkat akhir.
” Salah seorang daripada mereka akan berenang secara solo, enam secara berganti-ganti manakala dua lagi akan bertindak sebagai peserta gantian.
” Marilah kita berdoa agar impian mereka semua tercapai dan tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.
” Kejayaan mereka kelak secara langsung adalah kebanggaan dan kejayaan kita semua,” kata Qobin ketika dihubungi Mynewshub.my di sini hari ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah Penasihat Kehormat (RPSI1M) manakala Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles adalah Penasihat Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia.
RPSI1M anjuran kelab berkenaan, dinaungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Antara tujuan ekspedisi ini ialah memberi peluang kepada ATM untuk menjadi pasukan Malaysia pertama melakukan ekspedisi renangan berganti-ganti secara dua hala dari Dover ke Calais dan kembali ke Dover.
Difahamkan kesemua peserta perlu menjalani ujian kelayakan yang dikendalikan oleh Channel Swimming and Piloting Federation (CSPF) sebelum menggalas cabaran RPSI1M itu.
Sembilan Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Siap Sedia Takhluk Selat Inggeris 16 Sept ini
Sebelum ini jurulatih Mohd Arof Omar berkata, semua peserta akan memulakan renangan merentasi Selat Inggeris dari Dover, United Kingdom (UK) menuju Cap Gris Nez, Calais, Perancis sebelum berpatah balik ke Dover.
“Semua peserta akan berlatih di kawasan sebenar bagi menyesuaikan diri dengan cuaca di sana. Mereka akan menjalani latihan ketahanan sejuk, ujian renangan selama 6 jam dan latihan intensif di Dover sehingga 14 September, sebelum ekspedisi sebenar,” katanya.
Selain seorang peserta yang akan berenang TERUS secara solo, peserta yang lain akan berenang secara bergilir-gilir sejauh 80 kilometer (dua hala) dengan suhu air laut antara 16 dan 18 darjah Celcius yang dijangka mengambil masa 22 hingga 26 jam.
Setiap perenang akan berenang antara 13-15 kilometer sebelum diganti dengan perenang lain. – Mynewshub.my



Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top