SHARIFAH Nor Azean Syed Mahadzir, 28, atau lebih dikenali sebagai Scha Al-Yahya, belum menunjukkan sebarang tanda kehamilan atau sebarang perubahan hormon selepas dia berkahwin dengan Ahmad Awaluddin Ashaari, 31, atau Awal.

Jika ada yang berubah pun, pendirian Scha saja yang kini lebih selektif memilih watak untuk dilakonkan demi kemajuan kerjaya lakonannya dan peranan yang diberikan haruslah bersesuaian dengan statusnya kini.

Bilang Scha, dia mahu lari daripada watak kebiasaannya yang pernah dibawakannya sebelum ini dan mahukan sesuatu yang asing.

“Watak yang diberikan kepada saya balik-balik watak hampir sama, gadis lasak dan tomboi. Memang tugas sebagai pelakon harus mempelbagaikan lakonannya, tetapi saya juga ada masanya ‘tepu’ idea.

“Saya mahu dicabar dengan watak yang lari daripada kebiasaan yang menyerlah sisi lain yang ada pada diri dan kemampuan saya. Misalnya, watak air mata, watak lemah-lembut atau psiko.

“Apabila sudah berkahwin saya juga perlu memikirkan apakah watak yang saya ambil itu mampu memberikan contoh yang baik buat penonton. Ada satu watak drama bersiri ditawarkan pada saya dulu, sudah saya jangka ia akan mencetuskan kontroversi jadi saya terpaksa tolak tawaran itu.

“Filem Dampak misalnya, saya diberikan peranan utama. Namun, saya tolak dan minta kepada pengarah untuk diberikan satu lagi watak yang hanya muncul beberapa babak saja kerana watak sampingan itu menawarkan karektor berlainan dan boleh membuka mata penonton bahawa saya juga boleh jadi versatil jika ada yang sanggup memberikan kepercayaan.

“Saya tidak menyesal malah puas biarpun cuma sedikit. Terus-terang saya mencari kepuasan, tidak lagi seperti dulu saya berlakon kerana enggan mempersia-siakan peluang,” katanya yang sedang sibuk mempromosikan filem Awan Dania.

Jelas jurucakap kepada produk Bio Essence dan Avon itu, sekitar Oktober nanti kontraknya sebagai Wajah Eksklusif Astro akan tamat dan sempena pembebasan itu, dia mensasarkan lebih banyak peluang diperoleh daripada stesen televisyen tempatan untuk mengembangkan kebolehan lakonannya.

“Tanpa Astro, saya akui saya harus lebih berdikari dan perlu pandai memasarkan diri. Saya tidak keberatan untuk mencuba apa jua watak, sekalipun kecil asalkan ia berbaloi selain mampu mengikis satu sisi yang sudah tertanam di minda penonton dan peminat seperti watak gadis lasak misalnya.

“Saya sudah sedia diuji,” ujar wanita tinggi lampai itu sewaktu ditemui pada majlis perasmian produk makanan, House Of Mini, di Hotel Royale Chulan, baru-baru ini.

Jika si isteri mensasarkan kelainan watak, berlainan pula ceritanya dengan suami yang memasang hasrat untuk beraksi di samping isteri sama ada menerusi program berbentuk realiti.

“Sejak saya dan Scha muncul menerusi program Seia Kata Schawal yang memaparkan persediaan kami sebelum berkahwin, ramai peminat memberi maklum balas positif dan tidak kurang yang menyarankan kami hasilkan satu program seumpamanya.

“Terus-terang antara drama dan program realiti, saya lebih sukakan konsep program realiti dan saya pernah ketengahkan idea kepada stesen TV untuk hasilkan program realiti membabitkan pasangan pengantin baru.

“Saya suka menonton rancangan Guiliana & Bill, dua selebriti Hollywood yang sangat sukses, tetapi dalam kehidupan yang sebenar mereka sama saja seperti pasangan suami-isteri yang lain, tidak pernah putus usaha untuk mendapatkan cahaya mata.

“Program realiti, kemungkinan untuk membuka aib pasangan itu memang ada. Namun saya percaya dengan garis panduan penerbitan program yang ada di Malaysia ini, masih terkawal.

“Hakikatnya, program seperti ini mampu mendekatkan diri seorang artis kepada penonton. Seperti saya katakan, artis sama saja seperti orang biasa. Kadang kala mereka juga punya isu tersendiri dalam hidup. Apabila berkahwin mereka juga melalui proses yang sama untuk membina keserasian, untuk mempunyai anak dan sebagainya.

“Penting untuk masyarakat tahu bahawa artis juga berhak untuk menjalani kehidupan normal di sebalik kerjaya mereka yang penuh glamor,” katanya.

Juga berminat untuk mengacarakan program realiti berbentuk ‘gameshow’ bersama Scha, pengacara tetap program sensasi, Melodi, itu mengakui terkadang dihimpit perasaan rindu untuk berlakon.

Namun, komitmennya sebagai pengacara Melodi yang memerlukannya bersiaran langsung setiap Ahad, membuatkan beberapa tawaran terpaksa ditolak.

“Kalau telefilem mungkin tiada masalah sangat, tetapi drama bersiri agak susah sikit, kerana keutamaan saya adalah Melodi. Tambahan pula kebanyakan produksi drama dan filem, kebelakangan ini gemar melakukan penggambaran di luar negara, lagilah susah untuk saya terima.

“Kalau bukan kerana komitmen mengacara, saya sendiri sebenarnya tak sampai hati meninggalkan Scha sendirian. Nampak saja kental, tetapi isteri saya itu seorang yang manja sebenarnya dan mahu sentiasa berteman.

 Scha tak suka sendirian

 “Sekarang ini pun kalau habis kerja, saya terus balik rumah temankan Scha.
Kadangkala dia juga temankan saya ketika bekerja, cuma dia elakkan berbuat demikian selalu kerana bimbang ada yang tak selesa pula nanti,” katanya.

Sah bergelar suami isteri pada 4 Mei lalu, pasangan sama cantik sama padan itu sedang dalam perancangan membuka lagi satu cawangan butik Schapoholic, di mana cawangan pertamanya beroperasi di pusat membeli-belah, The Curve.

“Dua tahun Scha menjalankan perniagaan ini dan sambutannya saya lihat amat baik. Justeru, saya dan isteri merancang untuk membuka butik di Wangsa Walk untuk mengembangkan jenama Schapoholic.

“Jika cawangan pertama menumpukan pada pakaian, aksesori dan kasut wanita, di cawangan baru ini saya merancang untuk membawa masuk baju lelaki bersama item fesyen yang gemar digayakan golongan itu,” katanya.

Sebelum mengakhiri perbualan, Awal sempat memaklumkan, dia dan Scha sedang menyertai pertandingan dinamakan Petronas Switch 4 Xtra Race yang turut disertai penyampai radio, Faizal Ismail dan blogger, Hanis Zalikha.

Peminat yang mengundi selebriti pilihan mereka bukan saja dapat menentukan kemenangan artis yang bertanding, tetapi juga berpeluang memenangi hadiah wang tunai serta dipilih untuk mengalami perlumbaan sebenar. Untuk menyertainya, ikuti pertandingan itu di laman twitter dan facebook.- hmetro

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

Emoticon
:) :)) ;(( :-) =)) ;( ;-( :d :-d @-) :p :o :>) (o) [-( :-? (p) :-s (m) 8-) :-t :-b b-( :-# =p~ $-) (b) (f) x-) (k) (h) (c) cheer
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.

 
Top