xMGdJ Sammy tak sorok Nadia
KEMATANGAN memberi definasi berbeza untuk hubungannya dengan Sammy.
KISAH cinta yang diukir tidak sampai setahun ini memberi ruang buat dua hati saling melengkapi. Walaupun berada di dua negara berbeza namun dengan bantuan teknologi moden momen indah dua selebriti ini terus tercipta.


Mahu meneruskan hubungan cinta jarak jauh ini ke tahap berbeza personaliti TV3 ini percaya tiada apa yang lebih penting selain doa ikhlas mereka yang mengikuti kisah dirinya dengan bekas vokalis kumpulan Kerispatih, Sammy Simorangkir.
Menurut Nadia atau nama sebenarnya Nadia Shahrul Anuar, 28, walaupun terpaksa menjalani hubungan cinta jarak jauh itu tidak pernah merunsingkan dia dan Sammy.
Tahu kepercayaan terhadap pasangan merupakan resipi utama kejayaan kisah cinta sebegini bagi Nadia buat masa ini dia masih selesa untuk meneruskannya.
“Hubungan kami masih baik, rasanya tidak ada terlalu banyak masalah walaupun berjauhan kerana teknologi sentiasa mendekatkan kami.
“Bagaimanapun dalam keadaan sebegini kedua kami meletakkan ‘kepercayaan’ sebagai asas untuk hubungan ini,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Wanita Hari Ini (MHI), di Sri Pentas, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Bertemu kali pertama ketika Sammy hadir mempromosikan album terbarunya pada program MHI, Nadia memberitahu secara jujurnya dia langsung tidak mengenali Sammy sebelum ini.
Bagaimanapun dia yakin ketentuan yang telah diaturkan merupakan sebab dia kini bersama penyanyi Indonesia itu.
“Saya tidak mengenali Sammy sebelum ini namun kali pertama mendengar suaranya saya mula tertawan.
“Dan sebelum hubungan ini terjalin ia menjadi pelbagai kebetulan sebenarnya, saya yakin kini semua yang berlaku mempunyai sebab tertentu,” katanya malu.
Terus bercerita progres hubungannya kini, Nadia memberitahu memandangkan Sammy agak sibuk di Indonesia dia mengambil peluang yang ada untuk ke negara kekasihnya itu.
Tidak tahu sama ada kehadirannya di sisi Sammy sudah dapat di hidu media Indonesia, bagi Nadia tiada apa yang lebih penting kini selain untuk mengetahui kewujudan dirinya dihargai Sammy sepenuhnya.
“Sammy agak sibuk di sana, jadi kalau ada peluang saya akan ke sana selalunya dua kali dalam masa sebulan.
“Saya tidak tahu sama ada media di sana mengenali saya namun bagi saya itu tidak penting kerana Sammy tidak pernah menyorok daripada memperkenalkan saya sebagai kekasih hatinya,” katanya jujur.
Ditanya sama ada sudah ada perancangan untuk meneruskan hubungan ini ke alam perkahwinan, bagi Nadia masih terlalu awal untuk bercakap soal ikatan suci itu.
Bagaimanapun menurut ibu tunggal ini dia tidak menolak jika ia berlaku suatu hari nanti.
“Jika ada jodoh saya tidak menolak. Buat masa ini apa yang saya minta adalah doa mereka di luar sana sahaja,” katanya.
Cabaran cinta
Sedang enak diulit deruan ombak cinta, tiba-tiba hubungan ini dilanda badai. Terbaru gambar berpelukan Sammy dengan seorang wanita mula berputaran di Internet.
Malah apa yang paling menggemparkan adalah pengakuan dari wanita tersebut yang mengatakan dia pernah tinggal serumah dengan penyanyi tersebut.
Meminta penjelasan lanjut daripada teman wanitanya ini, Nadia memberitahu sewaktu kontroversi itu meletus dia sebenarnya bersama Sammy di Indonesia.
“Saya berada di sana sewaktu kisah ini hebat diperkatakan media Indonesia. Sammy sendiri telah menjelaskan perkara sebenar, jadi ia langsung tidak menjejaskan hubungan kami,” katanya yakin.
Bagi wanita matang ini industri hiburan di negara seberang itu agak jauh berbeza dari Malaysia. Memberitahu persaingan industri hiburan yang agak sengit di sana, Nadia percaya berita itu merupakan salah satu cara untuk menjatuhkan kekasih hatinya itu.
“Kita kena tahu media dia sana agak berbeza dari sini. Dengan persaingan yang begitu sengit berita-berita sebegini mampu dijadikan senjata untuk menjatuhkan orang lain,” katanya.
Tatkala ditanya sama ada dia bersedia meninggalkan Malaysia jika benar jodohnya dengan penyanyi tersebut, menurut Nadia dia tidak nampak penghijrahan itu sebagai sesuatu yang menyusahkan.
Malah menurut wanita berwajah pan-Asia ini juga dia bersedia untuk mencuba aktiviti lakonan di sana sekiranya diberi peluang.
“Jika benar jodoh saya, saya tidak mempunyai masalah untuk ke sana.
“Kalau diberi peluang untuk ke sana mengapa tidak namun buat masa ini saya masih mempunyai tanggungjawab dengan program MHI,” katanya.
Utusan

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top