Daily Star mohon maaf kepada isteri Putera William
PENERBIT Daily Star, akhbar Ireland, menawarkan permohonan maaf kerana menyiarkan foto kontroversi isteri Putera William, Kate Middleton, tetapi menegaskan pihaknya tidak akan menutup syarikatnya seperti yang dikehendaki pemilik bersama dari Britain.
Daily Star mendahului akhbar di Britain dan Ireland dengan menyiarkan gambar Duchess of Cambrigde itu, yang diambil dari majalah keluaran Perancis, Closer, yang pertama kali mendedahkan gambar kontroversi itu kepada umum.
Gambar itu telah mencetuskan perdebatan hangat mengenai privasi dan kebebasan media terutamanya di Britain, di mana mereka boleh dikenakan tindakan keras sekiranya menerbitkan kandungan yang boleh menimbulkan spekulasi dan melanggar hak privasi seseorang individu.
Bulan lalu, hanya satu akhbar iaitu The Sun, terbitan United Kingdom, yang berani menerbitkan foto kontroversi Putera Harry.
Independent News and Media (INM), syarikat media terbesar di Ireland, semalam menyertai pemilik bersamanya dari Britain, Northern and Shell mengutuk penerbitan gambar itu.
Kedua-dua mereka menegaskan tiada kebenaran diberikan untuk menerbitkan gambar sedemikian.
Ketua Eksekutif INM, Joe Webb berkata, “saya meminta maaf atas penerbitan gambar yang melibatkan Duchess of Cambridge itu bagi pihak INM. Kami akan melancarkan inkuiri dalaman untuk memastikan kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi pada masa hadapan.”
Webb juga menambah, “pihak kami akan sedaya upaya untuk tidak menutup syarikat ini demi kebajikan 70 pekerja yang kini berkhidmat untuk Daily Star Irish.”
Webb berkata demikian selepas tersebar cerita bahawa pemilik bersamanya, Richard Desmond yang memiliki Northern and Shell mahu mengambil langkah segera untuk tidak mahu lagi bekerjasama dengan INM selepas berlakunya insiden penyebaran gambar terbabit.
Seorang jurucakap syarikat Northern and Shell memberitahu, surat khabar itu mungkin tidak akan menggunakan jenama Daily Star dan sebarang keputusan mengenai penerbitan akhbar itu akan seratus peratus diserahkan kepada INM selepas ini.
Posting Komentar
Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda