Mazemi dibantu Asiah menghasilkan Keropok Lekor Ori di gerai jualan mereka di sebuah kedai makan berhampiran Cabang 3 Sungai Sok, dekat Manek Urai, Kuala Krai.
KUALA KRAI - Label ‘Keropok Lekor Ori’ diguna penjual keropok lekor di Cabang 3 Sungai Sok, Manek Urai, dekat sini, Mazemi Mamat bukan sekadar gimik untuk melariskan jualan kerana ia memang ada kaitan dengan keaslian makanan tersohor itu.
Lahir dan membesar di Losong, sebuah perkampungan terkenal dengan produk keropok lekor di Terengganu, Mazemi, 31, bukan sahaja ada pengalaman sejak kecil, malah, mewarisi resipi turun temurun keluarganya dalam menghasilkan makanan itu.
Mazemi berkata, sambutan baik pelanggan sejak dia mula menjual keropok lekor di kedai makan mentuanya itu, Februari lalu, membuktikan produk dihasilkannya ada kelebihan dan keaslian tersendiri.
“Antara keistimewaan dan rahsia keenakan keropok lekor ini, saya guna banyak ikan. Keropok lekor ini juga masih lembut walaupun dibiarkan sejuk kerana saya guna sagu, bukan kanji.
“Alhamdulillah, jualan meningkat sehari ke sehari dan pelanggan juga beri reaksi positif, malah ada antara mereka kata, tidak pernah jumpa lagi keropok lekor asli seperti ini,” katanya.
Mazemi dan isteri, Asiah Che Ha ditemui di gerai jualan keropok lekor mereka yang dibuka di kedai makan bersebelahan Masjid Wan Zaid di Cabang 3 Sungai Sok, dekat sini, semalam.
Mazemi berkata, jumlah jualan keropok lekornya juga kini bertambah sekali ganda daripada hanya 5 kilogram (kg) sehari kepada 10kg dan boleh sampai 12kg pada cuti hujung minggu.
“Ketika mula-mula buka (gerai) dulu dan ramai orang tidak tahu lagi, saya nak jual 5kg pun payah dan ada kalanya tak habis tetapi sekarang, alhamdulillah, sambutan amat baik,” katanya.
Ditanya pengalamannya dalam membuat keropok lekor, bapa kepada tiga anak itu berkata, keluarga kandungnya di Losong, Terengganu cukup dikenali sebagai antara pengusaha terkenal bagi produk makanan itu.
“Keropok lekor ini perusahaan keluarga yang kami warisi sejak turun temurun bahkan kalau pergi ke Losong untuk cari keropok lekor, sebut sahaja gelaran ayah saya, ‘Mat Bodi’, orang pasti akan kenal.
“Sekarang, bukan saya seorang bahkan tiga adik beradik lain meneruskan perniagaan keluarga kami.
“Kakak saya pernah keluar dalam sebuah rancangan televisyen kerana keropok lekor dihasilkannya,” kata Mazemi.
Sementara itu, melihat sambutan baik diberikan pelanggan, Mazemi berkata, dia berhasrat mengembangkan lagi pasaran keropok lekornya termasuk bersedia terima tempahan daripada orang ramai. -sinar
Posting Komentar
Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda