SEREMBAN – Bernikah secara batin dan perlu melakukan hubungan seks selama 100 hari. Itulah syarat ditetapkan seorang bomoh terhadap pesakit wanitanya bagi mengubat penyakit dihadapi.

Bomoh berusia 48 tahun mengenakan caj RM200 terhadap pesakit dan dipercayai melakukan pukau sebelum menjalankan upacara pernikahan.

Dengan memegang sebuah kitab suci al-Quran, bomoh berkenaan akan memegang tangan pesakit dan mengucap akad ‘Aku nikahkan dikau dengan aku berserta fidyah’.

Bagaimanapun, tindakan bomoh warga tempatan itu terbongkar apabila dicekup Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di rumah pesakitnya di Kampung LB Johnson, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, bomoh terbabit ditahan sebaik saja selesai bernikah batin dengan seorang wanita berusia 24 tahun yang mengalami masalah kesihatan.

Serbuan diketuai Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah bersama 15 anggotanya hasil risikan dan maklumat orang awam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Husaini Mustafa berkata, ketika serbuan, bomoh bersama pasangannya itu berada dalam bilik hanya memakai pakaian dalam dipercayai mahu melakukan hubungan seks, selepas upacara nikah batin selesai.

“Upacara nikah batin dilakukan bomoh berkenaan tanpa saksi. Dia hanya menggunakan kitab suci al-Quran dan diikuti bacaan mantera.

“Pesakit dikenakan bayaran untuk setiap upacara nikah batin. Selain membaca akad dan mantera, pesakit perlu melakukan hubungan seks bersama bomoh itu selama 100 hari sebagai syarat untuk menyembuhkan penyakit,” katanya.

Menurutnya, bomoh berkenaan sudah mempunyai isteri dipercayai datang dari Kuala Lumpur dan berasal dari negara jiran, namun mendapat kerakyatan di negara ini.

“Dia datang ke rumah wanita yang tinggal bersendirian itu kononnya mahu mengubati penyakitnya,” katanya pada sidang media Ibu Pejabat Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, semalam.

Ahmad Husaini berkata, bomoh yang tidak mempunyai pekerjaan itu dipercayai sudah lama bergiat aktif dalam kegiatan tidak bermoral itu.

“Dia cuba mengaburi mangsa dengan mendakwa mampu menyembuh penyakit dan dipercayai menggunakan ilmu pukau supaya mangsa berada dalam keadaan tidak sedar ketika upacara itu dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, bomoh tersebut kini ditahan dan akan didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini.

“Dia akan didakwa mengikut Seksyen 49 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan kerana mencela agama Islam, Seksyen 50 enakmen yang sama kerana menggunakan ayat al-Quran secara salah dan Seksyen 77 kerana memikat dan melarikan gadis untuk tujuan seks,” katanya.

Menurutnya, JHEAINS percaya terdapat beberapa individu lain yang terlibat dan sedang mengenal pasti mangsa yang pernah dinikahinya sebelum ini, termasuk di negeri-negeri lain. – SinarHarian

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top