Adibah Noor Lima Kali Putus Cinta
Adibah Noor Lima Kali Putus CintaSETELAH hampir setahun cuba ‘melamar’ Adibah Noor sebagai penghias kulit majalah MIDI, akhirnya hajat ini terlaksana jua. Kesibukan karier personaliti yang terkenal dengan lagu Terlalu Istimewa ini menjadi kekangan buat kami.
Bukan sekadar berlakon filem dan teater, Adibah juga turut menjadi hos rancangan televisyen, selain nyanyian yang menjadi keutamaan buat dirinya.
Sesi penggambaran kami menjadi lebih istimewa kerana bukan sekadar memotret wajah Adibah. Kami turut ditemani beberapa ekor kucing kesayangan personaliti ini. Semuanya comel belaka. Adibah memiliki lebih 20 ekor kucing di kediamannya.
Kala ditanya mengapa suka bela kucing, jawab pemilik nama sebenar Adibah Noor Mohamed Omar, “kucing ialah makhluk ciptaan Allah yang sarat dengan kasih sayang.
Wajahnya mampu menyejukkan hati, menghilangkan stres dan saya percaya tujuan hidup kucing adalah untuk menemani dan menghiburkan manusia. Subhanallah.”
“Minat membela kucing hadir secara semula jadi dan bukan dibuat-buat. Saya memang suka kucing sejak zaman kanak-kanak. Kucing merupakan haiwan domestik yang sangat berdikari. Asalkan kucing ini disediakan tempat untuk bersantai, bermain dan tidur, lengkap dengan tempat membersihkan diri, makan dan minum, kucing ini mampu ‘jaga’ diri sendiri. Mereka cuma dahagakan kasih sayang manusia sahaja,” ujarnya lagi.
Adibah turut menegaskan bahawa dia tidak pernah berkira dengan kos membeli makanan dan rawatan kesihatan untuk kucing peliharaannya. Demi kasih sayang untuk kucing-kucing ini, Adibah sanggup memastikan kucing-kucingnya sihat dan bersih.
“Sukar digambarkan jika ada kucing saya yang mati. Situasinya bagaikan kehilangan orang tersayang. Mereka seperti ahli keluarga. Bagi mereka yang ada alahan terhadap bulu kucing saya nasihatkan janganlah bela kucing. Namun kalau mahu bela juga, pastikan kucing sentiasa bersih, mandikan kucing sekali sebulan dan bersihkan telinganya.
Kuku kucing juga perlu dipotong. Bulu dan telinga kucing ada hama yang boleh mengakibatkan ketidakselesaan kepada mereka yang ada resdung dan masalah alahan respiratori,” kata Adibah yang turut menasihatkan supaya membersihkan tangan dengan sabun dan lap muka selepas memeluk kucing.
September 2012, genaplah usia Adibah Noor 42 tahun dan tetap dengan status solo. Menurutnya, keinginan berumah tangga tetap wujud di dalam nalurinya sebagai seorang wanita. Pun begitu, berkahwin tidak diletakkan di tangga teratas dalam senarai keutamaannya.
“Saya menyerahkan soal jodoh kepada Allah kerana Dia yang menentukan segalanya. Alhamdulillah, Allah menganugerahkan saya kemahiran yang boleh jadi punca pendapatan. Saya agak independant dan tidak suka susahkan orang lain.
Segala urusan perniagaan saya lakukan sendiri. Jadi tidaklah sunyi sangat bila ada banyak kerja yang hendak dibuat. Saya juga mempunyai sekumpulan kecil sahabat karib yang telah berjanji untuk hidup bersama apabila tua kelak,” ujar Adibah yang pernah lima kali putus cinta dan menepis tanggapan kononnya selama ini dia gemar menjalinkan hubungan dengan lelaki muda atau ‘anak ikan’.
“Saya selesa dengan kehidupan sekarang. Bohonglah kalau saya katakan hati saya tidak sepi. Media sosial banyak membantu saya berinteraksi dengan insan di luar sana namun saya tidak menaruh sebarang harapan.
Kalau ada, adalah. Kalau tak ada, sekurang-kurangnya saya dapat berjumpa dengan bermacam-macam individu dengan cerita hidup tersendiri,” ujar Adibah yang kagum dengan individu bujang namun sanggup mengambil anak angkat sedangkan hal tersebut menuntut mereka memberikan komitmen yang sungguh mencabar.
Bermula pada 2004 dengan filem Sepet hingga filem terbaru lakonannya iaitu Horee! Horee!, Adibah bakal muncul dalam filem komedi seram arahan Afdlin Shauki berjudul Pontianak Versus Orang Minyak. Filem tersebut dalam proses untuk ditayangkan. Walaupun semakin banyak membintangi filem dan teater, Adibah tetap menganggap nyanyian adalah kerjaya nombor satunya.
“Saya anggap lakonan ialah bidang yang masih di tahap ‘suka-suka’. Saya selektif menerima tawaran berlakon. Kepuasan menyanyi lebih banyak kerana setiap persembahan berbeza audiensnya. Cabaran menghiburkan sebuah dewan yang padat dengan penonton adalah seperti cabaran sukan ekstrem.
Lakonan pun seronok juga tetapi mempunyai tuntutan berbeza. Waktunya lebih panjang dan pulangannya tidak sehebat menyanyi. Berlakon adalah pencarian sambilan sahaja buat masa ini,” ujar Adibah yang pernah memenangi Anugerah Juara Lagu 2006 termasuk Vokal Terbaik untuk lagu Terlalu Istimewa dan Anugerah Industri Muzik 2011 untuk kategori Pop Etnik Terbaik bagi lagu Joget Tak Senang Hati.
Kala ditanya mengenai album baru, Adibah dengan penuh makna berkata, “Buat masa ini saya mencuba strategi lain dalam penghasilan lagu baru iaitu melancarkan ‘single’ sahaja. Penatlah buat album yang padat dengan lebih 10 lagu tetapi orang cuma ingat satu lagu sahaja kerana lagu lain tidak diberi peluang untuk menyerlah.”
* Dapatkan butiran lanjut dalam majalah MIDI edisi terbaru di pasaran
Posting Komentar
Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda