Kuala Terengganu: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun bukan saja dimaki dan dipukul ayahnya sendiri, malah turut dikurung dalam reban ayam gara-gara tindakannya yang gemar ke rumah kakaknya dalam kejadian di Kampung Teluk Pasu, Manir di sini, Ahad lalu.

Menurut sumber, nasib menimpa kanak-kanak malang itu hanya diketahui kakaknya berusia 20 tahun yang tinggal di Kampung Losong Megat Hussin, di sini, kira-kira jam 8 malam hari sama selepas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seorang lagi adik perempuannya yang memaklumkan perbuatan ayah mereka.

Katanya, sebelum kejadian itu, mangsa yang berada di rumah kakaknya dimarahi suspek berusia 50-an yang kebetulan datang ke rumah kakaknya itu.

“Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa yang masih kecil dimaki hamun suspek yang dikatakan tidak suka melihat anaknya berada di situ.

“Selepas puas memarahi mangsa, suspek kemudian beredar sambil membawa mangsa meninggalkan kediaman itu.

“Perasaan tidak puas hati suspek rupa-rupanya tidak berakhir di situ apabila mangsa dipukul ketika berada di rumah.

“Malah, suspek turut bertindak kejam apabila mengurung anak kecil itu di dalam reban ayam kononnya sebagai memberi pengajaran,” katanya.

Sumber berkata, ketika kejadian, seorang lagi kakak mangsa berusia 16 tahun turut berada di rumah, tetapi hanya mampu melihat tindakan tidak berperikemanusiaan ayah mereka kerana bimbang diapa-apakan jika masuk campur sebelum memaklumkan kejadian itu kepada kakaknya.

Katanya, susulan kejadian itu, kakak mangsa yang bimbang keselamatan adiknya membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian berkenaan.-hmetro

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top