ALOR GAJAH – Seorang kaki pancing terkejut apabila jaring ikan yang dipasangnya, tiba-tiba direntap kuat seekor anak buaya sepanjang kira-kira 1.5 meter di sungai Kampung Sungai Buloh, Padang Kambing, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, Malik Tahir, 30-an, sedang leka menjaring ikan tersentak apabila menyedari jaring dipasangnya itu direntap sesuatu objek berat.

Menurut Malik, terkejut melihat keadaan itu, dia meminta bantuan beberapa pemancing lain yang berada berdekatan untuk menarik jaring berkenaan naik ke darat.

“Sangkaan awal saya, mungkin ada objek seperti kayu tersangkut pada jaring. Tetapi amat mengejutkan apabila saya dapati objek berwarna kelabu hijau tersangkut di situ sehingga jaring terkoyak,” katanya.

Katanya, dalam keadaan sekeliling gelap dan samar-samar, dia pada mulanya gagal mengecam objek berkenaan adalah haiwan reptilia itu, sebelum dibantu penduduk dan kaki pancing lain untuk dikeluarkan dari jaring.

“Dengan kekuatan kira-kira 10 orang yang bantu mengawal sekeliling, anak buaya berkenaan berjaya dilepaskan dari jaring.


“Kami terpaksa memegang kuat bahagian kaki belakang anak buaya berkenaan yang meronta-ronta kuat dan segera mengikatnya sebelum diangkat beramai-ramai untuk dimasukkan ke dalam bangsal berdekatan sungai,” katanya kepada pemberita.

Menurut Malik, beberapa penduduk kemudian berkawal di bangsal sehingga pagi semalam sebelum menghubungi Jabatan Pertahanan Malaysia (JPAM) Alor Gajah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Mohd Hairi Ahmad berkata, anak buaya itu berada dalam keadaan selamat selepas ditangkap penduduk.

“Anak buaya itu dipercayai tersesat ke sungai selepas dihanyutkan air sungai deras sebelum tersangkut pada jaring.

“Haiwan itu akan ditempatkan di satu kawasan khas Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun, Selangor bagi melindungi dari terus diancam kepupusan.

Menurutnya, mereka yang menangkap dan menyimpan hidupan liar yang dilindungi itu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 mengikut Seksyen 68 akta sama.-sinar harian

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top