Pusat bandar Kuala Lumpur dibanjiri 100,000 penyokong Pakatan Rakyat yang hadir ke Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka – himpunan paling besar anjuran gabungan parti tersebut bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Penganjur mengharapkan kehadiran besar ke perhimpunan itu akan mempengaruhi golongan pengundi atas pagar.

Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dilihat mengambil pendekatan berbeza bagi perhimpunan kali ini dengan memastikan tiada insiden tidak diingini.

Pihak berkuasa membenarkan Pakatan menggunakan lokasi bersejarah Stadium Merdeka, dan polis turut mensasarkan “kecelakaan sifar” bagi perhimpunan berkenaan.


Penganjur menguji sikap baru yang ditunjukkan pihak berkuasa ini dengan berjalan kaki dalam kumpulan besar menuju ke Stadium Merdeka, bermula dari tujuh lokasi, sebelum perhimpunan bermula pada jam 2 petang.

Malaysiakini

Tahniah kepada polis




Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh juga mengucapkan tahniah kepada polis dengan mengulangi mesej yang dihantar pemegang akaun @MahasiswaMsia.

MahasiswaMsia menulis, “terima kasih buat pasukan @PDRMsia yang sangat komited dalam menjalankan tugas demi menjaga keamanan.”

Seorang pemilik akaun bernama Najib berkata, “matang RT @saifuddinabd: +1 RT “@Hussamuddin: Kalau semua pihak bekerjasama macam ni kan baik.”

Mesej itu dikongsi itu oleh Saifuddin.

Dalam SMS kepada Sinar Harian Online, Saifuddin berkata, perhimpunan politik adalah sebahagian darpada demokrasi.”

Oleh itu beliau yang dilihat sebagai pemimpin moderat dalam Umno berkata, ia sepatutnya bebas dianjurkan oleh mana-mana parti politik, asalkan secara aman.

“Ia tidak perlu menjadi isu, terutama apabila dianjurkan pihak yang berbeza pendirian politik dengan kita. Ia tidak boleh kelihatan seolah-olah hanya sesuatu pihak sahaj yang dibolehkan menganjurkannya.

“Perhimpunan hari ini secara fundamentalnya tidak banyak berbeza dengan Perhimpunan Ulang Tahun Umno ke-66 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada tahun lalu,” kata beliau sambil berkata, “kedua-duanya dianjurkan oleh parti politik.”

Perhimpunan masa depan

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata, semua pihak kelihatan mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2011.

“Ini perkembangan baik. Tahniah juga kepada polis yang menjalankan tugas dengan cemerlang. Selepas ini, saya harap semua pihak yang ingin menganjurkan perhimpunan dan yang terlibat dengannya akan memberikan kerjasama baik antara satu sama lain.

“Semoga tiada lagi usaha menakut-nakutkan orang ramai dengan adanya perhimpunan atau bagi yang ingin menyertainya.

“Lebih penting lagi, selepas ini, kita dapat membincangkan apa yang dibicarakan dalam perhimpunan itu, dan tidak lagi tentang logistik perhimpunan semata-mata,” katanya.

Penganjur menyifatkan himpunan tersebut cukup berjaya berikutan ia berjalan dengan aman tanpa sebarang provokasi.

Bermula dengan perarakan dari lapan ‘checkpoint’ berbeza, pihak berkuasa tempatan menempatkan pegawainya di setiap lokasi terbabit.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali ketika ditemui selepas himpunan tamat sekitar jam 5.30 petang tadi melahirkan kesyukuran atas kelangsungan himpunan tersebut.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang bangkit pada hari ini. Kami himpun secara aman dan teratur.

“Ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia ini cukup bertanggungjawab, mereka sekadar ingin berhimpun menyatakan aspirasi mereka untuk membawa perubahan,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Beliau menyentuh soal kehadiran sebilangan besar golongan muda yang membanjiri Stadium Merdeka.
“Hari ini kita saksikan anak-anak muda begitu ramai daripada pelbagai kaum termasuk kaum-kaum dari Sabah dan Sarawak, bersatu hati untuk sama-sama menjana satu perubahan.

“Ini juga satu mesej yang cukup jelas. Kalau mesej ini pun Perdana Menteri tidak faham, saya kira amat malang sekali,” katanya.

Tambahnya, “perhimpunan hari ini disifatkan cukup berjaya dan ini akan menjadi perhimpunan yang akan menjana kekuatan baru menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.”

Dalam pada itu, sebahagian pemimpin lain menyampaikan penghargaan terhadap kerjasama yang dihulurkan pihak berkuasa tempatan.

Aman kerana tiada gangguan

Pengasas Soladiriti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Cikgubad berkata pihak polis sudah bertindak rasional atas kerjasama hari ini.

“Perhimpunan hari ini boleh aman kerana apa? Kerana kita tidak diganggu. Maknanya, kalau pihak polis boleh bertindak rasional, tiada masalah. Akhirnya, hari ini mencatat sejarah.

“Mereka mula melihat bahawa peralihan itu suatu perkara yang tidak boleh dielak lagi dan ini merupakan pertanda yang baik bahawa kebangkitan rakyat akan memperolehi kemenangan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman pula menyifatkan kejayaan himpunan hari ini berkait rapat dengan perbincangan yang dijalankan pihak penganjur dan pihak berkuasa sebelum ini.

“Kalau perbincangan itu berjalan, saya yakin akan dapat hasil yang baik. Pengalaman masa lampau menunjukkan apabila berlaku masalah interaksi antara kedua belah pihak, perbincangan tidak berlaku. Berbeza dengan kali ini,” katanya.

Himpunan ini dihadiri sebahagian besar pemimpin PR termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Meskipun peserta dilarang membawa anak ke himpunan itu, terdapat sebilangan kanak-kanak yang menyertai himpunan tersebut.

Pihak berkuasa bukan saja menjalankan pemerhatian di jalan raya, malah sebuah helikopter dilihat berlegar-legar di udara ketika peserta berarak menuju ke Stadium Merdeka.

Ahli jawatankuasa penganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat, Hishamuddin Rais berkata, “himpunan tadi (hari ini) telah berjaya mengumpulkan 500,000 orang dan program kita berjalan mengikut masa yang dirancang dari jam 2 hingga 5 petang.”

“Bagi kita ini adalah satu kejayaan besar. (Seramai) 500,000 rakyat itu, Anwar telah bercakap tadi, ia satu amaran kepada Najib, Umno-Barisan Nasional, jangan menipu di pilihan raya akan datang,” katanya,
Di sudut polis, penganjur perhimpunan dikatakan telah melanggar tiga daripada 27 syarat yang dipersetujui antara mereka dan polis sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata tiga syarat itu ialah larangan membawa kanak-kanak berusia bawah 15 tahun; membawa plakad, sepanduk dan kain rentang berunsur hasutan serta peserta perhimpunan yang melebihi 30,000 orang.

Menurut Zainuddin polis menganggar kira-kira 45,000 peserta hadir pada perhimpunan itu.-sinar harian


Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top